Jumaat, 29 April 2022

Raja Sakti

RAJA JEMBAL 1 : RAJA SAKTI

 Raja Sakti (atau dikenali juga sebagai Raja Sakti I) adalah pengasas pemerintahan Raja Jembal, salah sebuah kerajaan yang memerintah Kelantan pada abad ke-17 dan 18. Pusat pemerintahan baginda adalah di Jembal (Kedai Lalat , Kota Jembal sekarang). Baginda adalah seorang daripada dua orang anak angkat  Raja Besar, keturunan Raja Bersiung dari Kedah yang datang tinggal di Jembal. Seorang lagi ialah Puteri Mani Kemenyan, yang dikahwinkan oleh Raja Besar dengan baginda Raja Sakti.
Mengikut ringkasan "Cetera Kelantan" yang ditulis oleh Dato' Nik Mahmud Nik Ismail (Dato' Paduka Raja), Raja Besar dan Raja Bersiung adalah orang yang sama.Kenyataan ini agak kabur dan bercanggah dengan fakta sejarah kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar ialah pada awal abad ke-17 (tahun 1600-an).


Istana Raja Bersiung di Kedah


Pertabalan Raja Sakti:


 Pada tahun 1638 M , Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya. Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu.Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu. Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong. Puteri baginda iaitu Puteri Unang Melor telah berkahwin dengan Raja Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin 1. Dari keturunan inilah asalnya Raja-raja yang memerintah Terengganu hari ini.
Setelah Raja Sakti merasa dirinya sudah tua dan putera-puteri baginda meningkat dewasa Raja Sakti telah menyerahkan pentadbiran negeri kepada mereka semua. Pada tahun 1649 M, Raja Loyar ditabalkan sebagai raja yang memerintah kerajaan Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Raja Temenggung.Setelah menyerah semua pemerintahan Kerajaan Jembal, maka baginda Raja Sakti pun mengadakan "Istiadat Bersiram" di pinggir Sungai Babong (sekarang hanya kelihatan sebagai lembah sahaja yang dijadikan sawah padi, terletak di belakang Sekolah Menengah Raja Sakti), selama 7 hari 7 malam, setelah sampai malam ke-7 maka baginda Raja Sakti dan Puteri Mani Kemeyan pun "ghaib" dan tidak diketahui riwayatnya sehingga hari ini.

Dari sudut lain:




# SEJARAH NEGERI KELANTAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan