RAJA JEMBAL 7 : RAJA PAH + LONG BAHAR
Raja Pah adalah puteri bongsu Baginda Sultan Umar yang memerintah kerajaan Kelantan yang berpusat di Kota Jembal (Kedai Lalat sekarang) pada abad ke-18. Baginda Raja Pah merupakan isteri kedua kepada Long Bahar anak Datu Pengkalan Tua raja Patani.Hasil dari perkahwinan baginda bersama dengan suaminya Long Bahar beroleh lima putera iaitu Tuan Kundur yang berpangkat Raja Muda (Raja Muda Kota Seneng), Tuan Nik Junuh (Sultan Haji Yunus Patani), Tun Raja Ali, Tuan Che Wook (Raja Neng Hitam Kota Seribung), Long Nik Halus (Raja Bongsu) serta seorang puteri iaitu Tuan Lipoh bergelar Tuan Puteri Balai Kuning (isteri kepada Sultan Along Yunus Patani).
Pada tahun 1721 atas kehendak kekanda baginda iaitu Raja Kecil Sulung selepas daripada kemangkatan ayahndanya, suami baginda iaitu Long Bahar telah ditabal menjadi Raja pemerintah Kelantan yang baharu bergelar Raja Tuan Besar dengan baginda pula sebagai Permaisurinya. Namun tidak lama kemudian apabila Raja Kecil Sulong mangkat pada tahun 1725, berlaku perebutan kuasa di antara baginda Raja Pah dengan anakanda saudara baginda iaitu Raja Abdul Rahman anak kepada Raja Kecil Sulung yang menuntut hak keatas takhta pemerintahan Kelantan. Kesudahannya, Raja Pah berjaya memperolehi sokongan kuat dengan mempengaruhi para pembesar negeri melalui komplot bersama besannya iaitu Bendahara Tuan Dagang dengan suami baginda kekal sebagai Raja pemerintah Kelantan yang berpusat di Kota jembal.
Legasi baginda Raja Pah bersama suaminya Raja Tuan Besar
Long Bahar melalui anakanda kepada putera sulungnya Tuan Kundur (Raja Muda Kota
Sening) iaitu Tuan Khomis (Mandur Mis) yang mengasaskan Kampung Lundang serta
menjadi Raja Lundang I pada tahun 1762. Dari keturunannyalah yang telah
memainkan peranan penting dalam mengawasi kestabilan kedaulatan negeri Kelantan
sehingga awal abad ke 20 yang berakhir dengan mangkatnya Dato' Lundang pada
1926. Hingga sekarang, legasi Keturunan Baginda Raja Pah bertebaran khususnya
di Lundang Kota Bharu.
Long Besar atau juga dikenali sebagai Long Bahar dan kemudian lagi masyhur bergelar sebagai
Raja Tuan Besar, adalah pemerintah kerajaan Kelantan yang berpusat di Kota
Jembal
Baginda berasal dari Patani , anak Datu Pengkalan Tua yang menjadi Raja
Jambu, Patani. Baginda kemudiannya merantau ke Kelantan dan telah berkahwin dengan Raja Pah puteri Sultan Umar yang
memerintah Kelantan ketika itu yang berpusat di Kota Jembal.
Sebelum itu, baginda telah pun mempunyai
seorang isteri di Patani (sesetengah sumber menyebut isterinya adalah raja
perempuan Patani bernama Raja Mas Jayam) dan beroleh dua orang anak dengan
seorang puteri bernama Tuan Melor (Tuan Puteri Kembang Bunga) dan seorang
Putera bernama Long Nik (Long Sulaiman).
Baginda memerintah Kelantan berpusat di Kota Jembal
selama 12 tahun iaitu bermula pada tahun 1721 hingga kepada mangkat pada tahun
1733. Baginda menjadi Raja pemerintah Kelantan bergelar Raja Tuan Besar dengan
isteri baginda iaitu Raja Pah sebagai Permaisurinya. Kenaikan baginda sebagai
Raja pemerintah Kelantan adalah berikutan kemangkatan Sultan Umar dan
penyerahan takhta kerajaan oleh Raja Kecil Sulung putera kepada Sultan Umar pada
tahun 1721.
Sebelum itu, pada tahun 1684, baginda membina
Istana Seneng (terletak di sebelah hulu berhampiran dengan Kota Jembal) dan
tinggal di sana. Kemudian, pada tahun 1702, baginda membina pula sebuah kota di
Kubang Labu (Wakaf Bharu kini), dikenali sebagai Kota Kubang Labu. Apabila baginda dilantik sebagai raja
pemerintah Kelantan di Kota Jembal, Kota Kubang Labu diserahkan baginda kepada Long Sulaiman,
anakanda baginda dengan isteri baginda di Patani, manakala Kota
Seneng pula diserahkan kepada Raja Muda Tuan Kundur, anakanda baginda
dengan Raja Pah di
Jembal sebagai Raja Muda Kota Seneng.
Baginda
mangkat pada tahun 1733 dan dipercayai dimakamkan di Kampung Tok Ku, Kedai
Lalat, Kota Bharu. Namun terdapat sumber yang lebih tua mengatakan
baginda telah dimakamkan di Langgar Buruk sebelah hilir Lorong Gajah Mati Kota
Bharu yang mana bentuk binaan makamnya menyamai dengan makam anakandanya Long
Sulaiman bin Long Bahar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan