Selasa, 3 Mei 2022

Raja Pah + Long Bahar

RAJA JEMBAL 7 : RAJA PAH + LONG BAHAR

Raja Pah adalah puteri bongsu Baginda Sultan Umar yang memerintah kerajaan Kelantan yang berpusat di Kota Jembal (Kedai Lalat sekarang) pada abad ke-18. Baginda Raja Pah merupakan isteri kedua kepada Long Bahar anak Datu Pengkalan Tua raja Patani.Hasil dari perkahwinan baginda bersama dengan suaminya Long Bahar beroleh lima putera iaitu Tuan Kundur yang berpangkat Raja Muda (Raja Muda Kota Seneng), Tuan Nik Junuh (Sultan Haji Yunus Patani), Tun Raja Ali, Tuan Che Wook (Raja Neng Hitam Kota Seribung), Long Nik Halus (Raja Bongsu) serta seorang puteri iaitu Tuan Lipoh bergelar Tuan Puteri Balai Kuning (isteri kepada Sultan Along Yunus Patani).

Pada tahun 1721 atas kehendak kekanda baginda iaitu Raja Kecil Sulung selepas daripada kemangkatan ayahndanya, suami baginda iaitu Long Bahar telah ditabal menjadi Raja pemerintah Kelantan yang baharu bergelar Raja Tuan Besar dengan baginda pula sebagai Permaisurinya. Namun tidak lama kemudian apabila Raja Kecil Sulong mangkat pada tahun 1725, berlaku perebutan kuasa di antara baginda Raja Pah dengan anakanda saudara baginda iaitu Raja Abdul Rahman anak kepada Raja Kecil Sulung yang menuntut hak keatas takhta pemerintahan Kelantan. Kesudahannya, Raja Pah berjaya memperolehi sokongan kuat dengan mempengaruhi para pembesar negeri melalui komplot bersama besannya iaitu Bendahara Tuan Dagang dengan suami baginda kekal sebagai Raja pemerintah Kelantan yang berpusat di Kota jembal.

Legasi baginda Raja Pah bersama suaminya Raja Tuan Besar Long Bahar melalui anakanda kepada putera sulungnya Tuan Kundur (Raja Muda Kota Sening) iaitu Tuan Khomis (Mandur Mis) yang mengasaskan Kampung Lundang serta menjadi Raja Lundang I pada tahun 1762. Dari keturunannyalah yang telah memainkan peranan penting dalam mengawasi kestabilan kedaulatan negeri Kelantan sehingga awal abad ke 20 yang berakhir dengan mangkatnya Dato' Lundang pada 1926. Hingga sekarang, legasi Keturunan Baginda Raja Pah bertebaran khususnya di Lundang Kota Bharu.


Long Besar atau juga dikenali sebagai Long Bahar dan kemudian lagi masyhur bergelar sebagai Raja Tuan Besar, adalah pemerintah kerajaan Kelantan yang berpusat di Kota Jembal

Baginda berasal dari Patani , anak Datu Pengkalan Tua yang menjadi Raja Jambu, Patani. Baginda kemudiannya merantau ke Kelantan dan telah berkahwin dengan Raja Pah puteri Sultan Umar yang memerintah Kelantan ketika itu yang berpusat di Kota Jembal.

Sebelum itu, baginda telah pun mempunyai seorang isteri di Patani (sesetengah sumber menyebut isterinya adalah raja perempuan Patani bernama Raja Mas Jayam) dan beroleh dua orang anak dengan seorang puteri bernama Tuan Melor (Tuan Puteri Kembang Bunga) dan seorang Putera bernama Long Nik (Long Sulaiman).

Baginda memerintah Kelantan berpusat di Kota Jembal selama 12 tahun iaitu bermula pada tahun 1721 hingga kepada mangkat pada tahun 1733. Baginda menjadi Raja pemerintah Kelantan bergelar Raja Tuan Besar dengan isteri baginda iaitu Raja Pah sebagai Permaisurinya. Kenaikan baginda sebagai Raja pemerintah Kelantan adalah berikutan kemangkatan Sultan Umar dan penyerahan takhta kerajaan oleh Raja Kecil Sulung putera kepada Sultan Umar pada tahun 1721.


Sebelum itu, pada tahun 1684, baginda membina Istana Seneng (terletak di sebelah hulu berhampiran dengan Kota Jembal) dan tinggal di sana. Kemudian, pada tahun 1702, baginda membina pula sebuah kota di Kubang Labu (Wakaf Bharu kini), dikenali sebagai Kota Kubang Labu. Apabila baginda dilantik sebagai raja pemerintah Kelantan di Kota Jembal, Kota Kubang Labu diserahkan baginda kepada Long Sulaiman, anakanda baginda dengan isteri baginda di Patani, manakala Kota Seneng pula diserahkan kepada Raja Muda Tuan Kundur, anakanda baginda dengan Raja Pah di Jembal sebagai Raja Muda Kota Seneng.

Baginda mangkat pada tahun 1733 dan dipercayai dimakamkan di Kampung Tok Ku, Kedai Lalat, Kota Bharu. Namun terdapat sumber yang lebih tua mengatakan baginda telah dimakamkan di Langgar Buruk sebelah hilir Lorong Gajah Mati Kota Bharu yang mana bentuk binaan makamnya menyamai dengan makam anakandanya Long Sulaiman bin Long Bahar.









# SEJARAH NEGERI KELANTAN

Raja Kecil Sulong

 RAJA JEMBAL 6 : RAJA KECIL SULONG

Raja Kecil Sulung adalah putera sulong kepada Sultan Umar yang merupakan Raja pemerintah Kelantan dari Dinasti D'Raja Jembal. Pada tahun 1721 berikutan kemangkatan ayahnda baginda iaitu Sultan Umar, tampuk pemerintahan kerajaan Kelantan telah diberikan oleh baginda kepada adinda baginda iaitu Raja Pah dan suaminya Long Bahar iaitu anak Datu Pengkalan Tua Raja Jambu Patani sebagai Raja pemerintah Kelantan yang baharu dengan Raja Pah sebagai Permaisurinya.

 

Namun,Setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung pada tahun 1725, satu perebutan kuasa atas nama "tuntutan hak" telah berlaku di antara putera baginda Raja Abdul Rahman dengan Long Bahar dan Raja Pah yang merupakan bonda saudaranya.

 

Akibat daripada perebutan kuasa itu, Raja Abdul Rahman akhirnya tersingkir daripada tuntutan hak keatas takhta pemerintahan kerajaan manakala bonda saudaranya iaitu Raja Pah bersama suaminya Long Bahar yang bergelar Raja Tuan Besar kekal memerintah Kelantan berkat daripada peranan Raja Pah yang telah berjaya memperoleh sokongan kuat dengan mempengaruhi para pembesar negeri melalui komplot bersama besannya iaitu Bendahara Tuan Dagang. Natijah daripada ini, perpecahan mulai telah berlaku dalam kalangan kerabat Raja Jembal kerana Raja Tuan Besar Long Bahar berasal dari Patani. Sepatutnya Raja Abdul Rahman yang mewarisi takhta bagi meneruskan kuasa keturunan Raja Jembal.

 

Selepas kemangkatan Raja Tuan Besar Long Bahar pada tahun 1733 dan akibat daripada kenaikan anaknda Raja Tuan Besar Long Bahar dari isterinya sebelah Patani yang bernama Long Sulaiman dan bukannya anaknda baginda dari isterinya Raja Pah ke atas teraju pemerintahan Kelantan. Maka berakhirlah Dinasti  Raja Jembal keatas takhta pemerintahan Kelantan.


# SEJARAH NEGERI KELANTAN

Ahad, 1 Mei 2022

Raja Omar

 RAJA JEMBAL 5 : RAJA OMAR

Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Umar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah.

Sultan Omar bin Raja Sakti adalah seorang daripada 4 orang putera Raja Sakti yang memerintah Jembal, Kelantan pada abad ke-17.

Baginda dilantik sebagai raja Jembal selepas kemangkatan kekandanya Raja Bahar pada 1675. Pada tahun itulah baginda mulaï dikenal sebagai Sultan Omar. Sebelum itu, baginda dilantik menjadi Temenggung oleh ayahanda baginda, Raja Sakti I.

Kerajaan Jembal kembali masyhur di bawah pemerintahan baginda. Baginda memerintah seluruh Negeri Kelantan.Baginda mengadakan lawatan ke seluruh kawasan dan jajahan takluk Kelantan. Baginda juga telah mengadakan perhubungan dengan kerajaan-kerajaan luar seperti Kerajaan Pattani, China, Jawa dan negeri-negeri jiran seperti Terengganu.

Baginda mempunyaï lima orang anak iaitu:-

Raja Kecil Sulung

Raja Hudang (Raja Ngah)

Raja Nah

Raja Sakti II

Raja Pah




Makam  Sultan Omar terletak di kampung Senang, Kota Jembal


https://goo.gl/maps/mHoPpS76aY2GHirz5


Sumber lain:


Kekeliruan makam Raja Omar



# SEJARAH NEGERI KELANTAN

Raja Abdul Rahim

RAJA JEMBAL 4 : RAJA ABDUL RAHIM 

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara Raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong bersemayam di Bukit Marak dan pada tahun 1673, Puteri Saadong berpindah ke Gunung Ayam untuk mengasingkan diri..

 Pemerintahan Raja Abdul Rahim sangat zalim,ramai rakyat datang mengadu kepada Puteri Saadong.

Raja Omar dari Jembal menghantar anaknya Raja Kecil Sulong untuk menyelesaikan masalah di Kota Mahligai.

Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H)




Pusat pemerintahan Kota Mahligai adalah tapak klinik Mahligai sekarang, tasik lelayang mandi dikatakan lokasinya di Bukit Mak Lipah, kg Tasek.


- TIDAK BANYAK MAKLUMAT YANG DAPAT DIKUMPULKAN.


# SEJARAH NEGERI KELANTAN

Sabtu, 30 April 2022

Puteri Saadong

 PUTERI SAADONG

Puteri Saadong atau Raja Mariam (memerintah antara tahun 1667–1671), merupakan anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang, Raja Wanita Pertama negeri Kelantan. Nama penuh Puteri Saadong ialah Tuan Puteri Saadong binti Raja Loyor; juga memakai gelaran Puteri Vijaya Mala, Raja Jembal; merupakan anak perempuan Raja Loyor bin Raja Sakti, Raja Jembal.

Kejelitaan Puteri Saadong sangat masyhur sehingga sampai kepada pengetahuan Raja Siam yang menghantar pinangannya kepada ibu angkat gadis berkenaan, iaitu Cik Siti Wan Kembang, tetapi ditolak sehingga menimbulkan kemarahan raja terbabit.

Demi mengelakkan kejadian buruk, Puteri Saadong dikahwinkan dengan sepupunya, Raja Abdullah yang kemudian ditabalkan sebagai Raja Kota Mahligai tetapi Raja Siam tetap berkeras untuk meminang sehingga mencetuskan perang yang mengakibatkan ramai rakyat terkorban.

Tertekan dengan keadaan itu, baginda rela mengorbankan diri dan mengikuti rombongan Siam tetapi Raja Siam dijangkiti penyakit kulit teruk yang hanya dapat disembuhkan oleh Puteri Saadong dengan syarat membebaskannya bersama-sama Kota Mahligai.

Bagaimanapun, kepulangan Puteri Saadong ke istana mengecewakannya kerana Raja Abdullah bukan sahaja sudah berkahwin lain, bahkan menuduhnya curang sehingga mencetuskan pertengkaran yang berakhir dengan kematian suaminya akibat ditikam cucuk sanggul.

Puteri Saadong menyerahkan singgahsana kepada iparnya, Raja Rahim dan memilih untuk memencilkan diri di Bukit Marak dan kemudian ke Gunung Ayam bersama pengiring dan hulubalang kepercayaannya, Awang Selamat.




Dari sudut lain :




# SEJARAH NEGERI KELANTAN

Raja Abdullah

 RAJA JEMBAL 3 : RAJA ABDULLAH

Raja Abdullah adalah putera kepada Raja Bahar. Baginda telah dikahwinkan dengan sepupunya Puteri Saadong, Puteri kepada Raja Loyor oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang. Perkahwinan ini adalah untuk mengelakkan angkara dari Raja Siam yang juga berhasrat untuk memperisterikan Puteri Saadong.

 

Selepas istiadat perkahwinan tersebut, Paduka Cik Siti Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah menerajui Kota Tegayung. Perkahwinan ini juga secara tidak langsung telah menamatkan sejarah pemerintahan di Jembal. Kemudiannya Cik Siti Wan Kembang telah meninggalkan Kota Tegayung. Kota yang baru ini dinamakan Kota Jelasin (sekarang Kampung Kota, Kota Bharu). Kota Jelasin juga kemudiannya diserahkan kepada Raja Abdullah dan Puteri Saadong.

Pemerintahan Raja Abdullah dan Puteri Saadong tidak lagi berpusat di Jembal tetapi di Kota Jelasin. Besar kemungkinan kuasa pemerintahan Raja Abdullah ini meliputi kerajaan Jembal. Andaian ini berdasarkan kepada keadaan di Jembal yang tidak mempunyai pemerintah selepas kemangkatan Raja Loyor dalam tahun 1663.

Dalam tahun 1671 baginda Raja Abdullah telah mangkat. Baginda dikatakan mati ditikam oleh isteri baginda Tuan Puteri Saadong dengan penyucuk sanggul dalam satu pergaduhan di Kota Mahligai. Pergaduhan ini berpunca daripada sikap marah Tuan Puteri Saadong terhadap suaminya Raja Abdullah yang tidak setia terhadap janji

Baginda Raja Abdullah telah dimakamkan di Padang Halban, dalam daerah Melor kira-kira 17 km dari bandar Kota Bharu.










# SEJARAH NEGERI KELANTAN

Jumaat, 29 April 2022

Raja Bahar

 

Raja Bahar bin Raja Sakti atau juga dikenali sebagai Raja Bahar Bendahara juga Raja Udang merupakan putera kedua Raja Sakti, pemerintah Jembal.

Beliau mempunyai dua orang putera iaitu Raja Abdullah dan Raja Abdul Rahim. Selepas kemangkatan kekandanya Raja Loyor, baginda dilantik sebagai raja Jembal antara tahun 1663-1667 Masihi.

Baginda mangkat sekitar tahun 1675 dan dimakamkan di Kampung Tok Kambing, Sering, Kota Bharu, Kelantan. Beliau digantikan oleh Raja Ekok (Sultan Umar).




Berhadapan SK Kota Jembal

Sumber lain :

Mungkin yang dimaksudkan adalah Makam Raja Hudang(Raja Ngah)


Sumber lain :

dirujuk sebagai makam Raja Hudang


# SEJARAH NEGERI KELANTAN